Polis larang terbangkan dron ketika sambutan ambang 2020

KUALA LUMPUR –
Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menerbangkan dron ketika sambutan ambang tahun baharu malam esok, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata penggunakan dron oleh orang awam ketika sambutan adalah tidak dibenarkan dan polis akan mematikan dron berkenaan sekiranya diterbangkan di sekitar kawasan sambutan.”Jika ada individu yang menaikkan dron sendiri, kami akan guna peranti khas untuk menyekat atau mematikan dron dari tempat dron yang diterbangkan dan perkara ini dikendalikan pasukan khas polis.

“Jadi, kami mohon kerjasama orang ramai agar tidak membawa dron kerana ia menjadi satu kesalahan dan kami tidak mahu berlaku perlanggaran dron (orang awam) dengan dron pihak berkuasa atau dron jatuh dan terkena orang awam,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas penutupan jalan dan kawalan lalu lintas sempena ambang tahun baharu 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Mazlan berkata lebih 1,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan itu bermula dari 8 pagi hingga lewat tengah malam esok.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih 20,000 pengunjung menghadiri sambutan ambang tahun baharu yang dijalankan serentak pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019.

Selain itu, Mazlan berkata lebih 30 jalan utama di ibu kota dan Putrajaya akan ditutup secara berperingkat mulai 8 malam esok.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Kuching, Jalan Raja di sekitar Dataran Merdeka, sepanjang Jalan Ampang dan Jalan Yap Kwan Seng di KLCC, Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Jinjang Utara dan beberapa jalan utama lain termasuk jalan-jalan di sekitar Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Mazlan berkata terdapat beberapa lokasi yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung pada malam ambang tahun baharu iaitu Dataran Merdeka, Kompleks Perdananan Putrajaya, KLCC, Pusat Beli Belah Pavillion, Sunway Velocity Cheras, Padang Awam Jinjang Utara dan Solaris Publika.

“Saya menasihatkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga 1.30 pagi.

“Jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik KL di talian 03-20719777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here