Peluang pekerjaan, perkasa TVET antara tumpuan KSM tahun ini

PUTRAJAYA –
Menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, perluasan keselamatan sosial pekerja, serta memperkasakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah antara tumpuan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi tahun 2020.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata kerajaan dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan sedang mengadakan rundingan dengan Jepun untuk menghantar pekerja berkemahiran, dimana memorandum kerjasama (MOC) bagi tujuan itu dijangka ditandatangani pada Mac tahun ini.

KSM juga terlibat secara langsung dalam inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysia@Work) bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, katanya.

Kula Segaran berkata KSM juga memperkemas perkhidmatan pekerjaan awam dengan fungsi JobsMalaysia dipindahkan ke bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, dimana pegawai JobsMalaysia dikekalkan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan.

Mengenai perluasan keselamatan sosial pekerja, Kula Segaran pada perhimpunan bulanan KSM di sini hari ini berkata Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan diperluaskan kepada 20 sektor informal lain seperti nelayan, petani, penjaja dan penggiat seni.

“Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan dilaksanakan untuk memberi liputan perlindungan kepada suri rumah di bawah Skim Hilang Upaya Kekal dan Skim Keilatan,” katanya.

Beliau berkata Skim No Fault Accident (NFA) akan diperkenalkan untuk memberi perluasan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here