Berusia hampir satu abad, warga emas ini bukan sahaja mampu menguruskan dirinya sendiri malah masih kuat melakukan pelbagai aktiviti seperti menjahit dan memasak.
Bukan itu sahaja, Lim Seng, 99, atau mesra disapa Po Po (bahasa Mandarin bermaksud nenek) Lim turut ligat bermain Mahjong yang sememangnya memerlukan ketajaman akal fikiran dan daya ingatan yang kuat.
Lim berkata, beliau juga sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan makan banyak sayur untuk sentiasa awet muda dan mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak katanya ketika ditemui di kedai makan miliknya yang kini diuruskan anaknya Poh Tik Heng, 70, dan menantu Fu Sek Sue, 63, di Kampung Cina, di sini.
Lim, yang mudah tersenyum dan ketawa itu, turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari, walaupun hanya berada di rumah.
Beliau akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi.