Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan perkhidmatan KTM komuter 24 jam tanpa henti bermula 7 hingga 10 Februari ini sempena sambutan Thaipusam.
Ketua Kawalan Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata 310 perkhidmatan komuter tambahan turut disediakan tahun ini, menjadikan sejumlah 832 perkhidmatan kesemuanya bagi tempoh empat hari tiga malam itu khusus untuk kemudahan pengguna dan pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Perkhidmatan ini bermula pada 7 Feb (Jumaat) 5.45 pagi dan tamat pada 10 Februari (Isnin) 9.36 malam, yang mana komuter bagi laluan ke dan dari Stesen Batu Caves akan ditambah serta dilanjutkan waktu operasinya sempena Thaipusam. Ini membabitkan Laluan Batu Caves-Seremban-Batu Caves serta Laluan Pelabuhan Klang-Kl Sentral-Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan tren bagi setiap 30 minit.
“Sebanyak 24 stesen akan dibuka sepanjang tempoh ini antaranya melibatkan stesen Batu Caves, Taman Wahyu, Sentul, Kuala Lumpur Sentral, Nilai dan Seremban. Namun tiada perkhidmatan tren tambahan ke dan dari stesen Laluan Tanjung Malim-Segambut-Tanjung Malim,” katanya pada sidang media Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2020 di sini.