BUTTERWORTH –
Polis Pulau Pinang mengingatkan pihak sekolah di negeri ini untuk tidak menyembunyikan sebarang salah laku atau aktiviti jenayah membabitkan pelajar dan warga sekolah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran berkata, maklumat awal adalah perlu bagi membolehkan langkah pencegahan dilakukan dengan sewajarnya.
“Kita mohon kepada pihak sekolah supaya jangan menyembunyikan sebarang salah laku mahupun jenayah yang melibatkan warga sekolah kerana kita nak bendung dari awal, itu yang lebih penting,” katanya selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah, di sini semalam.
Beliau berkata seramai 834 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis ditugaskan untuk memantau sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerusi program itu.