KUALA LUMPUR, 18 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula hari ini, menyaksikan keadaan yang tenang dan trafik lancar di jalan raya.
Hal ini terjurus kepada usaha orang ramai untuk menangani penularan COVID-19 di Malaysia.
Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan itu, menimbulkan beberapa masalah seperti pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai-balai polis malam tadi untuk mendapat premis rentas antara negeri.
Hakikatnya, kesesakan yang berlaku dan ramai orang berada di tempat awam pada satu-satu masa itu berkemungkinan boleh meningkatkan lagi jumlah kes penularan COVID-19.