KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini jelas bertujuan mengurangkan pergerakan, namun segelintir masyarakat seolah-olah degil apabila masih ada yang kelihatan melengah-lengahkan masa ketika berbelanja di pasar raya.
Oleh itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman menasihatkan orang ramai supaya apabila pergi membeli barangan keperluan, mereka perlu membuat perancangan pembelian yang baik.
“Dengan cara ini, kita boleh mengurangkan pergerakan. Buat senarai, ambil barang, terus bayar dan balik ke rumah,” katanya.
Mengenai urusan pembayaran pula, Yusof turut menggalakkan orang ramai untuk membuat pembayaran tanpa tunai yang dilihat lebih selamat dari sudut penularan virus itu.