KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan baru-baru ini, dijangka memberi impak negatif jangka pendek terhadap jualan hartanah tempatan dan amanah pelaburan harta tanah (REIT) runcit.
“Bank pelaburan itu menjangkakan jualan hartanah tempatan akan mencatat prestasi rendah berikutan kebanyakan pelabur berhasrat menangguhkan pelancaran baharu”, kata AmInvestment Bank.
Menurut bank pelaburan itu, impak negatif akan wujud kepada Pavilion REIT (PREIT) dan Sunway REIT (SREIT) di mana kebanyakan hartanah mereka melibatkan pusat beli-belah.
Secara keseluruhan, AmInvestment Bank mengunjurkan prospek bagi hartanah runcit akan kekal stabil bagi tempoh jangka panjang berikutan pusat beli-belah dan hotel akan mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi 2020 dengan tawaran diskaun 15 peratus bagi bil elektrik bulanan selama enam bulan, mulai April hingga September 2020.