KOTA KINABALU, 19 Mac – Kerajaan negeri memantau pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia menerusi Pejabat Yayasan Sabah dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan hingga 31 Mac ini.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata kerajaan negeri menasihatkan agar mereka tidak pulang ke Sabah pada waktu ini dan berada di asrama atau tempat penginapan masing-masing bagi mengelak daripada terdedah jangkitan virus COVID-19.
Namun, ada pelajar Sabah di IPT awam dan IPT swasta di semenanjung telah pulang ke Sabah dengan selamat.
Dr Yusof berkata pihaknya akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam memastikan kebajikan serta keselamatan semua pelajar di negeri ini.