KUALA LUMPUR, 20 Mac – Negara China menyumbang lebih 20,000 peralatan perubatan kepada Malaysia untuk khususnya, kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya bantuan itu diterima oleh pihak Kedutaan Malaysia di Beijing menerusi Duta Besar Malaysia di sana Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan wakil PDRM Chern Lea Keong.
Malaysia hari ini menerima 1,000 penutup mulut dan hidung, 20,000 ‘medical masks’, 100 pakaian pelindung dan 100 gogal, khususnya untuk anggota Polis Diraja Malaysia PDRM yang bekerja dari siang ke malam untuk menjamin kesihatan serta keselamatan masyarakat.
Pada Isnin lepas, Hishammuddin telah menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian di Wisma Putra, Putrajaya, membincangkan mengenai hubungan Malaysia-China yang perlu diperkukuh demi manfaat dalam pelbagai sektor serta tumpuan terhadap usaha menangani penularan COVID-19.
PDRM memastikan kelancaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 sehingga 31 Mac dalam usaha mengekang COVID-19 daripada terus merebak di negara ini.