Polis nafi kenyataan saman terhadap kenderaan dinaiki lebih seorang

KUALA LUMPUR, 21 Mac  – Polis menafikan kenyataaan mengenakan saman terhadap kenderaan yang dinaiki lebih daripada seorang apabila keluar membeli barangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan  menafikan insiden seperti itu berlaku di Puchong seperti yang tular di media sosial dan menurutnya berita itu adalah berita palsu.

Sejak semalam tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp kononnya polis mengenakan saman sebanyak RM200 terhadap pasangan suami isteri di Puchong yang keluar membeli barang.

Mesej tersebut turut menasihatkan orang ramai untuk pergi bersendirian untuk membeli barang atau membungkus makanan.

Katanya tidak ada arahan setakat ini untuk mengeluarkan saman terhadap sesiapa sekaligus pihak yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di mana-mana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac.

“Tidak perlulah tularkan kenyataan yang tidak ada kesahihannya yang hanya menyebabkan kegusaran masyarakat, bagaimana kita nak saman sedangkan seluruh negara hadapi masalah kekurangan bekalan alat keselamatan itu,” katanya.

Polis juga meletakkan syarat supaya orang ramai yang masih keluar dari rumah bagi tujuan hadir ke tempat kerja perlu mengemukakan Surat Pelepasan daripada ketua jabatan dan hanya dibenarkan untuk bekerja dalam sektor yang berkepentingan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here