IPOH, 23 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan terdapat beberapa kakitangan perubatan Hospital Teluk Intan (HTI) positif COVID-19.
“Pihak pengurusan HTI telah mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital ” katanya.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial menyatakan HTI lumpuh disebabkan enam kakitangan perubatan positif COVID-19.
Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai agar tidak menularkan sebarang berita tidak sahih kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai.
Katanya untuk sebarang maklumat berkenaan COVID-19 boleh merujuk Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel cprc@moh.gov.my.