Patuh arahan ‘duduk di rumah’

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keenam, orang ramai bukan sahaja perlu mematuhi nasihat untuk ‘duduk di rumah’ tetapi juga perlu menjaga aspek jarakan sosial terutamanya ketika berada di tempat terbuka seperti pasar awam dan pasar raya bagi mengekang wabak COVID-19.

Rakyat Malaysia perlu lebih serius mendisiplinkan diri serta mematuhi setiap arahan agar membantu kerajaan menghentikan atau memutuskan sama sekali rantaian jangkitan COVID-19 daripada berpanjangan.

Meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kadar pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan itu adalah 90 peratus namun baki 10 peratus itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan jumlah yang besar jika diambil kira 31 juta penduduk di negara ini.

Justeru itu pelbagai usaha telah diambil termasuk menempatkan seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara setiap hari mulai semalam bagi membantu PDRM memantau orang ramai agar mengehadkan pergerakan masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan Titah Diraja menasihati rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan menerusi media sosial dengan memegang plakad kuning yang memaparkan tulisan #StayHome dan #DudukRumah bagi menyampaikan mesej berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here