Persatuan Doktor Pergigian hanya berkhidmat masa kecemasan – PKP

Seperti yang kita semua sedar, negara kini melalui masa yang sangat mencabar dan tidak pernah berlaku sebelum ini berkaitan dengan wabak COVID-19. Keputusan dan tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Kesihatan adalah amat terpuji dan masih berusaha keras bagi menangani penularan ini. Negara kita telah mengambil langkah yang sangat berani apabila YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Namun, hari demi hari, kita telah menyaksikan peningkatan kes positif dan juga melaporkan kematian yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita semua perlu memainkan peranan untuk melindungi diri sendiri, orang yang kita cintai dan negara kita. Kini, kami mengehadkan semua prosedur pergigian untuk kes kecemasan sahaja bagi mencegah pengeluaran aerosol di udara dan juga sebagai langkah untuk meminimumkan penggunaan peralatan pelindung diri akibat permintaan yang meningkat pada masa ini.

Prosedur penghasilan aerosol seperti tampalan dan penskaleran (cucian) gigi tidak akan dilaksanakan pada masa ini. Pengamal pergigian juga akan menangguhkan dan menyusun semula kes-kes yang tidak segera atau elektif ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Kami menasihati orang ramai agar tidak menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk mendapatkan rawatan pergigian yang tidak mendesak. Sila hubungi doktor pergigian anda untuk membincangkan keperluan pergigian anda jika anda memerlukan maklumat lanjut dan penjelasan.

Senarai kecemasan pergigian mungkin termasuk yang berikut: –

  • Infeksi/ nanah pada kawasan dalam mulut seperti gigi atau gusi yang teruk (termasuk pembengkakan muka)
  • Kesakitan kawasan muka dan gigi yang tidak terkawal dengan ubat
  • Trauma/ kecederaan pergigian termasuk kawasan muka
  • Pendarahan yang tidak dapat dikawal dari kawasan dalam dan luar mulut
  • Aksesori pergigian seperti korona / jambatan / tampalan / aksesori ortodontik (penyokong) yang tertanggal
  • Prostesis/ alat pergigian atau gigi palsu yang patah

Kami menasihatkan semua pesakit untuk jujur kepada kakitangan pergigian apabila mengisytiharkan status kesihatan merangkumi sejarah perjalanan atau hubungan yang mungkin dengan kes positif COVID-19. Persatuan Doktor Pergigian Malaysia akan terus menyusul dan memberi nasihat tentang keadaan terkini sebaik mungkin dan jika arahan selanjutnya diterima daripada Pihak Berkuasa Kesihatan. Mari kita bekerjasama dalam perjuangan bagi mengatasi penularan wabak ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here