Alat pengimbas suhu ditempatkan kawasan daftar masuk KLIA

KUALA LUMPUR , 24 MAC – Semua penumpang yang berlepas dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini akan menggunakan alat pengimbas haba untuk menjalani pemeriksaan suhu badan  yang ditempatkan sebelum kawasan daftar masuk.

“Ini adalah salah satu usaha kami untuk memerangi penularan COVID-19 dan memastikan keselamatan semua penumpang dan komuniti di lapangan terbang,” kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi catatan di media sosial.

MAHB berkata alat pengimbas haba itu ditempatkan di antara pintu masuk ke kaunter daftar masuk B dan C, serta kaunter H dan I.

“Hanya penumpang, kakitangan dan anak kapal yang berlepas dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah celsius dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk “, kata operator lapangan terbang itu.

“Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk. Pengecualian akan diberikan kepada seorang penjaga kanak-kanak atau penumpang yang memerlukan bantuan khas “, katanya.

MAHB menjelaskan lagi seseorang yang tidak dibenarkan masuk perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan disyorkan untuk segera pergi ke klinik atau hospital tujuan pemeriksaan kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here