KUALA LUMPUR, 24 Mac – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ketujuh hari ini menyaksikan tumpuan diberikan kepada lapan peratus rakyat yang masih tidak patuh kepada arahan PKP ini.
Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata dalam kenyataan, kadar pematuhan rakyat Malaysia peningkatan sehingga 92 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan PKP setakat hari ini.
Justeru, pada peringkat ini hanya golongan pekerja yang terlibat dengan perkhidmatan penting sahaja dibenarkan berada di luar rumah.
Dalam hal ini, ketua keluarga atau wakil setiap keluarga yang perlu membeli barang keperluan atau mendapatkan rawatan kesihatan, manakala bagi yang tidak terlibat, perlu berada di rumah.
Kerajaan juga memandang serius tahap kesedaran penjarakan sosial yang disifatkan masih gagal dicapai oleh rakyat yang perlu berada di luar rumah.
Ini kerana rata-rata mereka yang keluar ke pasar awam atau pasar raya untuk mendapatkan barangan harian masih lagi berpusu-pusu tanpa menghiraukan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan iaitu satu meter antara satu dengan lain.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini ialah memastikan penjarakan sosial ini dipatuhi dengan memastikan pasar awam dan pasar raya ini mengehadkan jumlah pembeli dalam satu-satu masa dan membuat garisan jarak sejauh satu meter untuk pelanggan membuat bayaran.
Orang ramai juga dinasihatkan terus berada di rumah dengan mengamalkan kebersihan seperti membasuh tangan dan mematuhi penjarakan sosial jika perlu berada di luar.