Mulai esok waktu operasi pengangkutan awam dihadkan

PUTRAJAYA, 24 MAC – Mod pengangkutan awam di seluruh negara hanya akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi ke 10 pagi dan dari 5 petang ke 10 malam pada setiap hari  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mod pengangkutan awam yang diperkatakan termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara, perkhidmatan rel Aliran Transit Ringan (LRT), monorel dan Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Namun, perkhidmatan teksi dan e-hailing masih boleh beroperasi seperti biasa, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

“Keputusan itu adalah sukar untuk dibuat kerana mod pengangkutan awam menjadi kebergantungan masyarakat khususnya golongan B40”, tambah beliau.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini dapat menggerakkan PKP dengan lebih berkesan  dengan tujuannya iaitu memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19 dengan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun termasuk di dalam pengangkutan awam, tempat perhentian atau stesen dan terminal,” jelasnya lagi.

Ka Siong berkata, perkhidmatan bas ekspres di Semenanjung Malaysia masih meneruskan operasinya bagi menyediakan keperluan kepada individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan penting sahaja.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here