S’wak tubuh klinik di Kuching untuk rawat kes pernafasan bukan Covid-19

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak telah membuka klinik pernafasan baru untuk merawat kes-kes bukan Covid-19 dan mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata klinik di Arena Lawn Bowl Sarawak di sebelah Stadium Tertutup di Petra Jaya di sini adalah untuk mereka yang mengalami masalah demam, batuk dan pernafasan yang tidak berkaitan dengan Covid-19.

Beliau berkata ia berbeza daripada kemudahan pemeriksaan Covid-19 di Kompleks Pemuda dan Sukan.

“Klinik ini adalah untuk mereka yang memerlukan rawatan untuk demam, batuk dan kesukaran bernafas tetapi tidak bersentuhan dengan orang yang sedang disiasat (PUI) atau sesiapa yang disyaki mempunyai Covid-19.

“Kami mahu memisahkan kes-kes dan menghalang virus daripada merebak,” kata Uggah ketika melawat klinik itu pada Selasa (24 Mac).

Beliau berkata klinik itu akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat, dan perkhidmatannya adalah percuma.

Beliau juga mengingatkan mereka yang pergi ke klinik untuk mengamalkan pengasingan sosial.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, yang juga hadir, berkata kerajaan akan menimbangkan menubuhkan klinik pernafasan yang sama di Sibu, Miri dan bandar-bandar lain sekiranya perlu.

“Kami mulakan dengan yang pertama ini dan melihat bagaimana ia berjalan. Tujuan utama adalah untuk melindungi orang daripada dijangkiti, termasuk frontliner seperti pengamal swasta.

“Dengan kemudahan ini, semua orang yang batuk, demam dan sesak nafas boleh datang ke sini daripada pergi ke pengamal swasta,” katanya, sambil menambah bahawa pengamal swasta boleh menumpukan perhatian kepada kes bukan-Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here