KUALA LUMPUR, 25 Mac – Seramai 110 individu ditahan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tujuh hari pelaksanaan, bermula 18 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kebanyakan yang ditahan adalah membabitkan kesalahan ingkar arahan, ada yang bersikap biadap dan mencabar tugas anggota ketika sekatan jalan raya.
“Pada peringkat awal polis mengambil pendekatan merayu, menjelaskan dan menasihati orang ramai supaya mematuhi PKP. Namun, polis tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menahan individu yang ingkar”, katanya.
“Agak sukar untuk kita memastikan orang ramai mematuhi pergerakan dibenarkan di bawah PKP. Saya minta masyarakat memahami perintah dan ia memerlukan pengorbanan semua, jangan pentingkan diri sendiri”, ulas beliau.
Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan pihaknya tidak akan teragak-agak menahan individu yang melanggar perintah berkenaan.