Tempoh PKP dilanjutkan hingga 14 April, kata PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP dan akan dikaji dari semasa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.

“Oleh itu, saya mohon semua saudara saudari untuk duduk lebih lama di rumah dan mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa”, katanya.

Perdana Menteri berkata, tahap pematuhan mencapai 95 peratus kerana jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat beli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.

Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, penularan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan. Daripada kes pertama jangkitan COVID-19 dikesan, hingga jam 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here