FGV agih 13,000 beg barangan makanan keluaran anak-anak syarikat

Kuala Lumpur, 26 Mac 2020: Sebagai syarikat korporat yang prihatin dan bertanggungjawab, FGV Holdings Berhad (FGV) mengambil langkah-langkah proaktif untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan di saat negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.

Sebanyak 13,000 beg di bawah program bantuan makanan FGV ataupun FGV Food Relief Bag (FGV FreB)/ [F.G.V. Fri.bi] akan diagihkan, mengandungi makanan asas seperti beras, Minyak SAJI, Gula PRAI, Garam Gunung SAJI, Mi Segera SAJI, Krimer Pekat Manis SAJI, Krimer Sejat Cair SAJI dan Sos Cili SAJI yang merupakan barangan keluaran Kumpulan FGV.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Dato’ Haris Fadzilah Hassan berkata sumbangan mensasarkan golongan B40, terutamanya yang terjejas akibat pemotongan gaji dan mereka yang bergantung kepada gaji harian.

“FGV memahami keperluan masyarakat terutama yang berkeluarga untuk memastikan makanan sentiasa ada. Terlibat secara langsung dalam industri rantaian bekalan makanan, bantuan ini sangat dekat dengan kami malahan sumbangan ini juga sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan FGV menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” ujar Haris Fadzilah.

Pengagihan FGV FReB pertama sebanyak 3,000 beg bermula pada hari Rabu, 25 Mac dan dihantar ke NGO terpilih iaitu Pertubuhan Amal Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Bahagian Selangor, Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Bahagian Kapar, Selangor dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

Selebihnya akan diedarkan ke beberapa lokasi lain dan aktiviti ini akan dikoordinasikan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Semoga usaha ikhlas ini akan dapat meringankan sedikit-sebanyak beban yang dihadapi oleh rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here