KUALA LUMPUR, 26 MAC 2020 – Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) amat prihatin terhadap impak penularan Covid19 ke atas aktiviti perniagaan 14,628 buah Koperasi di Malaysia.
Aktiviti koperasi yang terjejas ini turut memberikan kesan kepada kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi seluruh Malaysia. Memandangkan arahan terkini Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 di seluruh negara, banyak koperasi yang menerima kesan secara langsung akibat dari pemberhentian operasi perniagaan.
Dalam usaha untuk meringankan beban dan membantu koperasi yang terlibat, MEDAC telah mengambil langkah proaktif mengumumkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman oleh koperasi menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Penangguhan pembayaran balik ini ditawarkan untuk tempoh 6 bulan mulai bulan April 2020 hingga September 2020. Anggaran keseluruhan kos yang terlibat berikutan pelaksanaan morotorium ini adalah RM99 juta. Koperasi boleh memohon secara terus ke SKM menerusi emel kepada rozdeen@skm.gov.my atau menghubungi talian 012-3302444.