KPDNHEP rampas topeng muka dijual lebih harga ditetapkan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis bernilai RM446,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata topeng muka jenis tiga lapis itu dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka yang melebihi harga maksimum kawalan menerusi Facebook Face Mask Wholesale (Malaysia Only) dan Pseud John Elton “, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklan topeng muka dengan kaedah penjualan  melalui pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pengguna disaran menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada KPDNHEP menerusi hotline 1-800-886-800 atau talian 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here