KUALA TERENGGANU, 26 MAC – UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Bioteknologi Marin (IMB) menghasilkan cecair pembasmi kuman sendiri mengikut piawaian ‘World Health Organization’ (WHO) untuk kegunaan seluruh warganya.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, kepakaran penyelidik UMT terbukti apabila berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman keluaran UMT sendiri.
“Cecair pembasmi kuman itu menggunakan 70 peratus bahan aktif yang berasaskan alkohol, kerana kadar tersebut diguna meluas dalam banyak produk sanitasi dan mampu membasmi pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit”, jelasnya.
“Ramuan tambahan seperti gel aloe vera digunakan untuk melembap dan minyak ‘essential’ yang berasaskan ‘tea tree’ pula sebagai pengharum, disamping kesan anti kuman dihasilkan mengikut piawaian (WHO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 2,000 botol dihasilkan pada fasa pertama produksi.
“Produk itu bukan untuk dijual dan hanya dibekalkan kepada warga UMT. Kami turut bercadang mengagihkannya kepada masyarakat sekitar UMT sekiranya bahan mencukupi,” katanya.