JOHOR BAHRU: Semua akses keluar masuk jalan raya di Simpang Renggam, Kluang diperketatkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan berkenaan iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan segera sepanjang tempoh 14 hari PKP di kawasan dua kampung itu.
“Dengan pelaksanaan PKP Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan memperketatkan kawalan di semua jalan utama dengan mengadakan sekatan jalan raya di semua akses masuk dan keluar terutamanya di jalan utama Simpang Renggam-Benut dan Simpang Renggam-Kluang di kedua-dua hala.
“Pelaksanaan pemantauan rumah (home surveillance) akan dilaksanakan dengan lebih tegas dengan pengawalan ketat oleh anggota pasukan keselamatan di dua kampung yang terjejas itu.
“Bagi keperluan makanan penduduk terjejas pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjadi penyelaras bantuan makanan dan keperluan asas yang akan dipantau sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan bahawa, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKP mulai tengah malam ini, selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.
.