MELAKA, 27 Mac – Kerajaan negeri Melaka memberikan bantuan khas kit makanan dan penangguhan bil air bagi pengguna domestik yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19, kata Ketua Menterinya Datuk Sulaiman Md Ali.
Katanya sebanyak 1,000 kit makanan terdiri daripada beras, minyak masak, tepung, biskit kering, gula dan sardin akan diedarkan kepada penerima yang layak di 28 Dewan Undangan Negeri pada hujung minggu ini.
“Bantuan khas kit makanan COVID-19 ialah bantuan ‘one-off’ yang akan diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah dan syarat permohonan ialah warganegara Malaysia, berpendapatan RM3,000 ke bawah dan bekerja sendiri atau gaji harian.
“Permohonan boleh dibuat melalui atas talian atau secara terus di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata penangguhan bayaran bil air bagi pengguna domestik adalah bagi bulan Mac dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 260,000 isi rumah di Melaka.
Sulaiman berkata sumbangan boleh disalurkan melalui cek atau Pemindahan Dana Elektronik (EFT) kepada Bendahari Negeri (Maybank Islamic: 554026000401) atau Pegawai Kewangan Negeri Melaka-Tabung Bencana Negeri (Maybank Islamic: 554110500466).