PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion

KUALA LUMPUR, 27 Mac  – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebanyak RM250 billion hari ini bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion diperuntukkan untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion digunakan untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS akan ditambah sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5.0 bilion, dengan kadar faedah bagi keseluruhan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

Selain itu dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah, turut disediakan.

Manakala Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5.0 bilion bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Seterusnya, Muhyiddin berkata, bagi pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah, seperti KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

Kerajaan juga telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here