Nasib rakyat Malaysia ulang-alik kerja di Singapura masih dalam tanda tanya

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Nasib lebih 200,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik ke republik berkenaan masih dalam tanda tanya susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Namun, sebilangan majikan di Singapura membenarkan pekerja Malaysia bekerja dari rumah. Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia merasakan mereka mungkin hilang pekerjaan memandangkan syarat ketat yang dikenakan oleh kedua-dua negara dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Rakyat Malaysia mengharapkan kedua-dua negara dapat mengadakan perbincangan lanjut bagi membenarkan mereka yang berada di Singapura dapat berulang-alik ke Malaysia seperti biasa.

“Secara jujur, adalah rasa sedih sebab rasa sudah lama berada di sini tetapi saya kena kuatkan semangat. Saya cuma fokus untuk terus berkhidmat dengan majikan namun, masih berharap keadaan segera kembali seperti dahulu,” kata Teh Zu Wei, 25.

“Kalau boleh saya berharap kerajaan Singapura dan Malaysia dapat berbincang dan membantu kami untuk kembali ke rumah di Johor Bahru secepat mungkin,”katanya.

“Sekiranya cadangan ulang-alik tidak ada persetujuan daripada pihak Singapura, kami berharap kerajaan Malaysia dapat menghulurkan bantuan dari segi tempat tinggal dan makanan dengan segera”.

“Majikan turut memberi sedikit duit tambahan untuk kelangsungan hidup di Singapura. Namun, selepas kerajaan Malaysia melanjutkan lagi PKP selama 14 hari lagi, syarikat belum buat apa-apa keputusan sama ada pekerja Malaysia akan terus diberi tempat tinggal atau sebaliknya,” kata Mohamad Hazrien Zainal, rakyat Malaysia yang kerja di Singapura.

Nasib rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura masih dalam tanda tanya akibat lanjutan PKP sehingga 14 April ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here