GEORGE TOWN, 28 Mac – Pelajar universiti yang menuntut pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bakal mendapat bayaran tunai RM 200 sebagai manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan semalam.
Shahir Naim Shahar, 23, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, melahirkan perasaan gembira apabila bayaran RM200 akan banyak membantu dalam mendapatkan makanan dan keperluan harian pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Amat bersyukur kerana kami mendapat bantuan wang bagi mengurangkan beban mendapatkan barang keperluan asas,” katanya.
Beliau juga berkata penggunaan percuma data internet 1GB juga dapat membantu pelajar mendapat maklumat terkini dan ruang untuk mengisi masa lapang di rumah.
“Namun, saya berpendapat ia tidak mencukupi kerana sesetengah pensyarah mahukan kami menonton video untuk pembelajaran kelas dalam talian ,” tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion, termasuk bayaran sekali gus RM200 kepada pelajar pendidikan tinggi serta penggunaan percuma data internet 1GB setiap hari sepanjang PKP.