PUTRAJAYA, 29 Mac – Usaha sama antara Malaysia dan Brunei untuk membawa pulang rakyat masing-masing yang terkandas di Mesir telah dilaksanakan susulan hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara tersebut.
Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, seramai 84 rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir diterbangkan dengan pesawat sewaan khas Brunei dari Kaherah ke Bandar Seri Begawan.
Menurutnya, rakyat Brunei berkenaan telah dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines yang berlepas ke Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan pada hari ini, jam 5.15 pagi.
“Pesawat yang sama kemudiannya membawa 84 rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka telah selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 12.11 tengah hari tadi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa keselamatan, kesihatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tidak diabaikan.
“Kerajaan akan terus komited di dalam menghulurkan bantuan sewajarnya. Dalam situasi mencabar ini, kerajaan juga mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak ingin menghulurkan bantuan dalam usaha kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.