KUALA LUMPUR : Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan menghantar bantuan secara terus kepada penerima bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menghargai sumbangan yang diberikan NGO yang sentiasa bersama kerajaan membantu rakyat bukan hanya ketika COVID-19, malah setiap kali bencana berlaku.
Beliau turut berkata NGO yang ingin menyampaikan sumbangan dinasihatkan supaya menghantar barangan keperluan atau makanan ke pusat pengumpulan di pejabat JKM daerah di seluruh negara yang kini berfungsi sebagai pusat pengumpulan sebelum diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.
“Semalam, saya tidak katakan mereka tidak boleh beri sumbangan tapi mereka boleh menyumbang ke pusat yang ditetapkan kerajaan. Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak puas hati kerana mereka tetap ingin beri sumbangan secara terus”, ulasnya.
“Kita mendapat nasihat daripada KKM sebab kita nak jaga keselamatan NGO itu. Kita tahu mereka akan menghantar sendiri dan mereka tidak tahu sama ada penerima itu bersih daripada COVID-19 atau sebaliknya”, tambah beliau.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa mendengar pandangan untuk menambah baik pelaksanaan agihan bantuan dan akan mengadakan perbincangan dengan NGO yang terbabit secara atas talian.