KUCHING, 30 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan kematian seorang budak perempuan berumur lima tahun di Bandar Sibu 26 Mac lepas adalah disebabkan oleh wabak rabies, menjadikannya kes pertama dilaporkan tahun ini di Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia juga menjadikan jumlah kes rabies kepada 23 sejak penyakit itu diisytiharkan sebagai wabak di negeri ini sejak 31 Julai 2017.
“Kanak-kanak itu pernah diserang dan digigit anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut dan kelopak mata namun lukanya tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun selepas kejadian sebelum mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama.
“Mangsa kemudiannya mendapat suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) serta dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu dan dibenarkan keluar wad dalam keadaan sihat pada 13 Mac sementara dos ketiga vaksin anti-rabies juga sudah diambil pada 16 Mac, ” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, keadaan mangsa bagaimanapun bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia selepas sehari di wad dengan sampel kanak-kanak itu disahkan positif rabies encephalitis oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac 2020.
Sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tiga hari kemudian, sementara anjing liar yang menggigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac tanpa sempat diambil sampelnya.
“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh, ” katanya.
Berikutan kes terbaru ini, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti rabies yang termasuk langkah segera jika digigit anjing, pemberian suntikan antirabies dan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri dan haiwan peliharaan.