KUALA LUMPUR, 30 Mac – Tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencapai 97 peratus untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Namun, kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Hal ini melihat apabila jumlah 649 individu yang ditahan pada Sabtu di seluruh negara iaitu meningkat sekali ganda berbanding hari sebelumnya, ia menggambarkan masih ada kalangan rakyat yang ingkar arahan PKP dan memandang ringan ancaman maut COVID-19.
Hari ini merupakan hari ke-13 penguatkuasaan PKP dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PKP peringkat kedua dijangka diumumkan hari ini (Isnin) dengan peraturan lebih tegas supaya PKP tidak perlu dilanjutkan lagi selepas 14 April, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan akan melakukan Operasi Nyah Cemar wabak COVID-19 di seluruh negara melibatkan lokasi titik panas iaitu Zon Merah dan Zon Jingga melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.
Hampir semua 15 PBT di Perak telah melaksanakan proses itu di kawasan masing-masing sejak awal minggu ini, dengan tumpuan antaranya pasar awam, taman atau padang rekreasi. Proses sanitasi juga dilakukan oleh Majlis Perbandaran Klang sejak 23 Mac iaitu melibatkan 35 lokasi.