KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Belia, dan Badan-Badan Kebajikan yang mencari dana, mengumpul dan menghantar barangan makanan dan keperluan asas kepada golongan di luar sistem kebajikan juga merupakan wira-wirawati yang tidak didendang dan pasukan sokongan kepada anggota barisan hadapan (frontliners) kita di dalam peperangan melawan wabak ini”, kata Ketua Dapsy Kebangsaan, Howard Lee.
Tambahan lagi, maklumat yang sudah dikumpul oleh NGO, pertubuhan belia dan badan kebajikan ini merupakan maklumat sedia ada yang membolehkan bantuan melalui mereka sampai kepada penerima dengan lebih pantas dan efisyen.
“Terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang tertinggal dan terpinggir daripada sebarang bantuan kerajaan mahupun tercicir dari dasar kebajikan kerajaan juga merupakan warga Malaysia dan insan yang memerlukan pertolongan dalam krisis yang sedang kita alami ini”, katanya.
Menurutnya lagi, NGO, pertubuhan belia dan badan kebajikan perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan juga, kerana mereka secara langsung telah membantu bagi meringankan beban frontliners yang sedia ada.
“Adalah wajar bagi beban kerja petugas-petugas kebajikan masyarakat yang sedia ada dibantu. Kerajaan wajar memberikan perlepasan terhadap NGO, pertubuhan belia dan badan kebajikan untuk membantu atas kepakaran dan kerja yang lebih tepat dan dekat dengan kerja hakiki dan latihan mereka. Kita juga harus akur dan sedar bahawasanya kita sudah sampai ke tahap ketandusan tenaga kerja frontliners yang cukup kritikal”, jelas beliau.
Howard mengulaskan bahawa sekiranya niat disebalik pengumuman ini adalah untuk meminimakan risiko penularan dan jangkitan, keputusan yang lebih bertepatan adalah peletakan syarat seperti mewajibkan pemakaian peralatan pelindung (PPE) dan/atau latihan yang khusus disampaikan. Kalau benar-benar gusar dan khuatir, boleh mensyaratkan seorang anggota APM atau RELA untuk mengiring dan memantau kumpulan. Pendekatan ini sudah tentu lebih berkesan daripada menghalang NGO, pertubuhan belia dan badan kebajikan daripada terus membantu.
“Kami berpendirian bahawa larangan terhadap NGO, pertubuhan belia dan badan kebajikan yang selama ini membanting tulang dan membantu golongan yang memerlukan adalah sama seperti melarang ATM, PDRM dan pengamal perubatan dari meneruskan tugas hakiki”, katanya.
Kerajaan disarankan agar menarik balik pengumuman yang amat mengancam kebajikan rakyat bawahan pada waktu sukar seperti ini.