KUALA LUMPUR, 31 Mac – Seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik dan pihak swasta, setakat ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar, berkata 4,374 rakyat Malaysia dilapor masih terkandas di 56 negara, dengan jumlah paling ramai di India membabitkan 2,156 orang.
Antara negara lain yang merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas ialah Indonesia (680 orang); Thailand (337); Australia (226); New Zealand (153); Arab Saudi (121); Pakistan (128); Filipina (54); Sri Lanka (50) dan Emiriah Arab Bersatu (43).
“Jumlah mereka yang terkandas di India dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan kononnya Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudah cara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, beliau menegaskan sokongan diterima adalah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja.
“Sesungguhnya usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas ini merentasi politik. Ini bermakna, semua pihak digalakkan untuk membantu kerajaan Malaysia. Pada waktu yang sukar ini, seharusnya semua pihak saling berganding bahu dan bekerjasama,” katanya.