Intel Malaysia sumbang lebih RM2 juta bagi sektor kesihatan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Intel Malaysia menyumbang lebih RM2 juta untuk membantu profesional penjagaan kesihatan memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan di Intel Corporation, Robin Martin berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli kit ujian, ventilator, monitor pesakit dan pembersih udara untuk hospital-hospital kerajaan di Pulau Pinang dan Kedah selain memberi sokongan kepada agensi kerajaan lain di Malaysia.

“Intel bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) menerusi program #AMCHAMCares bagi memastikan sumbangan itu sampai kepada institusi yang memerlukan tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata teknologi Intel menyediakan kapasiti pengkomputeran teras untuk komputer dan pelayan yang digunakan untuk kebolehkendalian rangkaian dan penyimpanan data serta bertanggung jawab ke atas tenaga pengkomputeran untuk penyelidikan perubatan, robotik untuk penjagaan pesakit yang perlu bantuan, kecerdasan buatan dan analisis data untuk penjagaan kesihatan.

“Kerajaan dan Kementerian Kesihatan bekerja lebih masa untuk melindungi rakyat negara ini. Disebabkan itu, kami membuat keputusan untuk menyumbang sebahagian daripada sumber kami untuk meringankan beban yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here