KERTIH: Tersentuh dengan situasi semasa pandemik COVID-19, kakitangan PETRONAS di Pantai Timur hari ini tampil menyampaikan sumbangan peribadi mereka di dalam meringankan tekanan kerja yang dihadapi oleh kakitangan Hospital Kemaman.
Usaha yang diselaraskan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam PETRONAS (BAKIP) pada 22 Mac 2020 itu berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM47,111.85 selepas seminggu ianya dilancarkan.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Dato’ Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, sumbangan tersebut adalah suatu bentuk sokongan moral dan lambang solidariti warga PETRONAS di atas dedikasi dan pengorbanan barisan hadapan di dalam menangani pandemik COVID-19.
Menurut Ahli Jawatankuasa BAKIP PETRONAS Chemicals Ethylene Sdn Bhd, Sukiman Jinazan Jusoh, inisiatif yang dijalankan adalah bertujuan untuk menzahirkan penghargaan kakitangan PETRONAS Pantai Timur kepada warga Hospital Kemaman. “Sebagai warga korporat yang prihatin, kami bersama-sama mendoakan agar mereka terus cekal di dalam menghadapi saat getir ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Pegawai Perubatan/Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Kemaman, Dr Hj Matnoh Karim mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan dan mengakui sumbangan tersebut sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan kakitangan untuk terus fokus di dalam menjalankan tugas mereka.
Terdahulu, PETRONAS, melalui Yayasan PETRONAS, telah menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM20 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengurangkan penyebaran penularan COVID-19. Selain daripada itu, PETRONAS Dagangan Berhad turut menyampaikan bekalan air mineral kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).