Operasi nyah-cemar teruskan di Batu Pahat hari ini

JOHOR BAHRU: Operasi nyah-cemar dan sanitasi awam negeri akan diteruskan di Batu Pahat hari ini, berikutan daerah berkenaan adalah lokasi ketiga mencatatkan penularan wabak COVID-19 paling tinggi di negeri ini selepas Kluang dan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor akan memulakan proses nyah-cemar dan sanitasi awam ke semua daerah di Johor bermula hari ini sehingga 14 April depan, secara berperingkat.

“Pegawai Kesihatan Daerah akan menetapkan lokasi operasi nyah-cemar di daerah masing-masing terutama membabitkan lokasi kes tinggi penularan wabak COVID-19 selain kawasan tumpuan umum,” katanya.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, proses nyah cemar dan sanitasi awam juga akan diteruskan di Simpang Renggam, Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas, di sini, yang menjadi lokasi tertinggi penularan wabak COVID-19 di Johor.

Beliau turut berkata, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Johor mencatatkan 96.42 peratus yang direkodkan semalam, yang hanya mencatatkan peningkatan yang kecil.

“Justeru, saya minta rakyat Johor mengambil iktibar dan mengambil serius arahan PKP dengan memberi sepenuh kerjasama kepada arahan kerajaan dengan memastikan tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak”, tambah beliau.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here