PKP fasa kedua jadi tempoh kritikal

KUALA LUMPUR, 1 April – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua bermula hari ini, menjadi tempoh kritikal buat rakyat Malaysia dalam menentukan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19, berjaya ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesan kejayaan itu bagaimanapun amat berkait rapat dengan tingkah laku dan kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan kerajaan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“PKP fasa kedua akan mula dikuat kuasa mulai hari ini hingga 14 April dan beberapa kawasan juga sudah diisytiharkan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)”, katanya.

Walaupun tahap pematuhan rakyat terhadap PKP melebihi 90 peratus, angka itu mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar secara keseluruhannya apabila masih terdapat individu ditahan kerana ingkar arahan tersebut dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Ia turut menyaksikan semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyatakan perkara itu berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

Berkuat kuasa hari ini juga, kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut pada RM1.50 seunit.

Keseriusan kerajaan membendung penularan wabak itu juga dapat dilihat apabila semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April ini.

Yang boleh memastikan tiada PKP fasa ketiga atau keempat adalah bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan, jika kita terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) dan arahan kerajaan,” katanya.

Ramadan dijangka bermula 24 April ini, kira-kira seminggu selepas PKP fasa kedua tamat, iaitu pada 14 April ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here