JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menegaskan bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri ini susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook baginda bertitah, hal ini disebabkan risiko berlaku kontak rapat amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.
“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah di tempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.
“Lupakan bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan dan nasihat pihak berkuasa.