COVID-19 : Operasi sanitasi awam di lokasi panas, KL

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan tumpuan orang ramai menempatkan pusat jualan popular di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India, di sini menjalani operasi sanitasi awam pagi ini.

Operasi dilaksanakan secara bersepadu itu, membabitkan kira-kira 30 anggota mewakili beberapa agensi dan syarikat, bermula sekitar jam 8.30 pagi.

Selain penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengawal kelancaran pergerakan lalu lintas, turut terbabit dalam operasi berkenaan, anggota dan petugas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), polis dan syarikat Alam Flora Sdn Bhd.

Operasi bermula dengan sesi taklimat semua petugas, berlangsung di Dataran Merdeka sebelum bergerak ke dua lokasi utama bagi memulakan kerja sanitasi awam.

Antara kawasan yang menjalani semburan cecair itu termasuk di Pasaraya Sogo, Kompleks Pertama, bangunan kerajaan dan swasta serta hotel di sepanjang Jalan Raja Laut, Jalan TAR, Jalan Masjid India dan Jalan Tun Perak, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek serta sekitar Jakel Mall.

Tiada premis perniagaan yang dibuka di sekitar Jalan TAR dan Masjid India dengan sebahagian besar restoran juga menutup operasi mereka.

Operasi seumpama ini juga dijangka akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menangani penularan COVID-19 terutama di kawasan tumpuan awam di ibu negara.

Tinjauan di sekitar menara City One mendapati kawalan ketat oleh pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih dibuat, dengan larangan kepada penghuni untuk keluar masuk secara bebas.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here