KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah hari ini menyerahkan sumbangan dana bantuan makanan bernilai RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membiayai keperluan dan kebajikan para pelajar universiti itu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob kepada Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.
Yusof berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kebajikan semua pelajar Sabah termasuk yang berada di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara terus terpelihara sepanjang pelaksanaan PKP.
“Kerajaan negeri juga akan berusaha membantu menyelesaikan segala masalah dihadapi pelajar dan menyampaikan bantuan mengikut kes dilaporkan termasuk melibatkan universiti swasta di negeri ini”,katanya.
Sementara itu, Taufiq berkata bantuan itu akan digunakan bagi membantu menyediakan keperluan makanan kepada 6,236 pelajar yang masih berada di dalam kampus dan luar kampus UMS seluruh Sabah termasuk Labuan sejak PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas.
Pada majlis sama, UMS turut menerima sumbangan RM100,000 daripada Sabah Credit Corporation yang akan disalurkan ke dalam Tabung Bantuan Khas COVID-19 UMS.
Tabung Bantuan Khas COVID-19 UMS telah diwujudkan pada 20 Mac bertujuan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat bagi membantu pelajar terjejas akibat wabak COVID-19, disalurkan ke akaun Maybank 5100 1302 4241 atas nama Universiti Malaysia Sabah.