KUALA LUMPUR – Hari ke hari, jumlah kes pesakit COVID-19 yang sembuh menunjukkan peningkatan, namun ia bukan bermakna untuk orang ramai mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua semalam.
Kerjasama rakyat untuk terus berdisiplin dan patuh kepada PKP mampu memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19.
Semalam, seramai 108 kes pesakit dijangkiti COVID-19 berjaya sembuh dan ia menyaksikan jumlah paling tinggi yang sembuh dan keluar wad dalam sehari, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara ialah 645 kes.
Ia adalah berita gembira tetapi peratusan rakyat untuk terus patuh kepada arahan PKP juga perlu ditingkatkan bagi memastikan COVID-19 dapat dihapuskan sepenuhnya.
Hari ini adalah hari ke-16 PKP dilaksanakan dan semestinya pihak berkuasa yang menjalankan operasi sekatan jalan raya dan rondaan semakin tegas terutama terhadap orang ramai yang bersikap keras kepala dan ingkar arahan.
Sementara itu, semakan dan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk golongan B40 dan M40 yang merupakan sebahagian inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), dijangka terus meningkat hari ini selepas dibuka semalam.
Ahli KWSP juga mempunyai tempoh masa sepanjang April untuk menghantar permohonan bagi membolehkan mereka menerima bayaran pengeluaran wang secara bulanan bermula Mei.
Selain mematuhi PKP, orang ramai dinasihat terus menjaga kebersihan, jarakan sosial dan melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga di rumah.
Sehubungan itu, tindakan menularkan berita palsu boleh menyebabkan anda disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.