Kuala Lumpur, 2 April 2020 – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui jenama
Tanggungjawab Sosialnya – BSN Care, baru-baru ini telah menyampaikan
sumbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi
Tabung Bantuan Perubatan bagi membantu menangani penularan wabak
Coronavirus (COVID-19). Selain KKM, BSN juga tidak ketinggalan untuk
menghulurkan sumbangan kepada beberapa hospital dan organisasi yang turut
berperanan penting dalam misi pencegahan wabak ini.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Suatu pepatah yang tepat untuk menggambarkan pengorbanan dan jasa serta bakti yang dicurahkan oleh petugas-petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan negara daripada ancaman pandemik ini. Justeru, sebagai sebuah institusi perbankan yang prihatin, BSN turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan dana kepada Kementerian Kesihatan Malaysia serta organisasi/badan kesihatan yang memerlukan,” kata Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.
Sumbangan-sumbangan yang telah disampaikan oleh BSN adalah seperti berikut:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
BSN telah menyumbangkan dana kepada KKM menerusi Tabung Bantuan
Perubatan COVID-19 bagi membantu membiayai kos alat-alat kelengkapan
perubatan, ubat-ubatan, bahan pakai buang serta keperluan-keperluan lain
berkaitan di fasiliti KKM
2. National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM)
BSN turut menyumbangkan dana kepada NIBM bagi membantu membiayai kos
penghasilan hand sanitizer dalam skala besar yang kini mempunyai permintaan
tinggi bagi kegunaan petugas-petugas barisan hadapan serta orang ramai.
3. Universiti Malaya Medical Centre (UMMC)
UMMC adalah salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit COVID-19.
BSN telah menyumbangkan dana bagi membantu UMMC menampung kos
Peralatan Perlindungan Peribadi seperti Disposable PE Apron dan Thermal
Thermometers untuk digunakan oleh kakitangan perubatan UMMC semasa
merawat pesakit COVID-19 bagi mengelakkan daripada dijangkiti.
4. Association of Islamic Banking & Financial Institutions Malaysia (AIBIM)
BSN selaku ahli AIBIM telah turut sama menyumbang dana bagi membantu
Hospital Sg. Buloh dan Hospital Kuala Lumpur menyediakan kelengkapan
perubatan bagi petugas-petugas barisan hadapan kedua-dua hospital tersebut.
Kesemua sumbangan yang telah disampaikan oleh BSN ini berjumlah RM120,000.
“Kami sedia maklum bahawa dalam keadaan negara yang diuji dengan keadaan luar biasa dan tidak pernah dialami sebelum ini, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama demi kesejahteraan bersama. BSN berharap agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak membantu wira-wira negara yang bertugas demi keselamatan negara,” ujar Datuk Yunos lagi.