KUALA LUMPUR – Rata-rata masyarakat termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO), merasakan keputusan membatalkan bazar Ramadan adalah langkah yang terbaik, untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Ridzuan Abdullah, berkata ini bukan masanya untuk memikirkan untung dan rugi, memandangkan bazar Ramadan berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19, memandangkan ia menjadi tumpuan ramai orang.
“Kes COVID-19 ini pun belum tentu habis bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tamat, jadi orang ramai masih lagi bimbang untuk keluar, walaupun aspek keselamatan pemakanan dan kebersihan dipatuhi”, katanya.
Dengan PKP yang besar kemungkinan akan dilanjutkan sehingga ke bulan Ramadan, dijangkakan hampir 99 peratus peniaga kecil akan menghadapi krisis kewangan dan ekonomi keluarga, bagi tempoh tiga hingga empat bulan mendatang.
“Ada antara mereka yang sudah menempah pakaian bundle dari luar negara, pakaian Muslim dan Muslimah dari pembekal, penjahit dan pemborong-pemborong kain di mana melibatkan kos yang besar dalam mendapatkan tempahan dari luar,” katanya.
“Sebagai alternatif, Ridzuan menyarankan agar kerajaan boleh mewujudkan e-bazar jualan khas bagi peniaga bazar bagi mempunyai perancangan dan persediaan yang realistik sekiranya bazar Ramadan dibatalkan”
“Kerajaan pula disaran membantu rangsangan rantaian bekalan tempatan mungkin melalui insentif dalam bidang logistik dan pengangkutan”, katanya.
“Ramai peniaga mengharapkan bazar Ramadan diteruskan, walaupun secara kecil-kecilan kerana ia sudah dianggap sebagai satu tradisi di bulan puasa. Cadangan bazar Ramadan dilakukan secara talian pula menarik, namun perlu dipastikan ia dapat dilakukan secara menyeluruh”, jelasnya lagi.
Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Kedah, telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri, manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah menegaskan, bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri itu disebabkan risiko berlaku kontak rapat yang amat besar.