Polis guna mod keras jika ingkar PKP, tiada lagi nasihat

KUALA LUMPUR – Tiada lagi kata-kata nasihat, kepada mereka yang masih ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak fasa dua bermula pada  Rabu hingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, memberitahu bahawa masih ramai yang  keluar rumah tanpa alasan yang munasabah.

Sudah pasti, jika pihak kerajaan mengambil pendekatan berlembut, usaha yang dilakukan untuk menghapuskan ‘virus kejam’ selama ini, yang sehingga semalam telah meragut 50 nyawa rakyat di Malaysia, tidak ubah seperti menjirus air di daun keladi.

Dilaporkan sepanjang PKP dilaksanakan sehingga semalam seramai 4,189 individu ditahan dengan 1,449 daripada mereka telah pun dituduh di mahkamah, termasuk atas kesalahan mengganggu dan menghalang pihak berkuasa melaksanakan tugas.

Ia cukup untuk melambangkan ketegasan kerajaan, dalam menangani krisis COVID-19, kerana lebih lama tempoh PKP ini dilaksanakan, ia akan menjejaskan bukan sahaja ekonomi negara, tetapi kehidupan rakyat sendiri.

Ekoran itu juga, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet, untuk merangka langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan Malaysia, yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

Jawatankuasa khas ini dijadual bersidang hari ini, hari ke-17 pelaksanaan PKP dan akan mengadakan mesyuarat kedua Ahad ini, sebelum hasil perbincangan jawatankuasa ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here