KUALA LUMPUR – Sebanyak 501 kes penipuan melibatkan penjualan penutup hidung dan mulut dilaporkan di seluruh negara setakat semalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata seramai 37 individu warga tempatan berumur antara 21 hingga 45 tahun ditahan dengan 22 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah.
“Hasil siasatan mendapati antara modus operandi yang digunakan adalah suspek mengiklankan penutup hidung dan mulut melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain sebelum berhubung dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan kemudian memberikan akaun bank (keldai akaun) untuk pembayaran”, tambah beliau
“Selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi serta akses media sosial disekat dan penghantaran penutup hidung dan mulut tidak dilakukan,” katanya.
Mohd Zakaria berkata sebanyak 556 kes penipuan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan dari Januari sehingga semalam dengan 401 kes membabitkan penipuan di laman Facebook.
Kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar membuat semakan menerusi portal ‘Semakmule’ dan status penjual dalam talian di laman web http://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat sebarang pembelian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata setakat ini PDRM tidak menerima laporan berhubung penipuan yang membabitkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Pemantauan mendapati tiada lagi kes membabitkan perkara ini tetapi masyarakat perlu berhati-hati dan tidak berurusan dengan individu yang mewakili kelompok atau persatuan (scammer)”, katanya.