Pakar bedah hasilkan kotak intubasi bantu barisan hadapan

KUALA LUMPUR: Didorong niat membantu petugas barisan hadapan mengendalikan pesakit COVID-19, seorang perunding pembedahan mengambil inisiatif menghasilkan kotak perlindungan intubasi untuk diedarkan secara percuma kepada hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Melalui proses yang mengambil masa hanya satu jam menggunakan plastik acrylic lut sinar, Prof Dr Firdaus Hariri, 42, berkata kotak perlindungan intubasi itu mampu berfungsi sebagai perisai untuk petugas perubatan barisan hadapan semasa melakukan prosedur intubasi pada pesakit COVID-19.

“Walaupun kebanyakan petugas barisan hadapan kita menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa melakukan prosedur berisiko, kotak ini akan memberikan perlindungan tambahan daripada terkena titisan sekresi pernafasan daripada pesakit dan mengurangkan lagi risiko terdedah kepada jangkitan semasa.

“Kotak ini dengan lubang untuk memasukkan tangan mampu memberikan perlindungan tambahan kepada petugas perubatan dan dalam masa sama ia tidak menghalang pergerakan tangan mereka bagi menjalankan prosedur menyelamatkan atau mengambil calitan tekak pesakit,” katanya.

“Saya meminta bantuan dua orang rakan yang mempunyai studio arkitek untuk membuat model 3D (tiga dimensi) dan menghasilkan beberapa prototaip kotak itu dan kemudian kita edarkan ke PPUM dan Hospital Selayang. Kita dapat maklum balas positif dan input bagi penambahbaikan kotak itu di samping respon baik terutamanya di media sosial”, jelasnya lagi.

“Bermula daripada situ, inisiatif ini berkembang dan saya telah mendapat bantuan dan sokongan masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta syarikat-syarikat yang turut sama membantu menghasilkan kotak ini,”

Dr Firdaus berkata kos menghasilkan kotak intubasi itu adalah antara RM150 hingga RM200 seunit dan ia juga bergantung kepada bekalan dan harga plastik acrylic yang berbeza mengikut kawasan.

“Sebanyak 249 unit kotak intubasi dan pelindung pensampelan digunakan semasa prosedur mengambil calitan tekak telah berjaya diedarkan ke hospital, pusat kesihatan daerah dan klinik kesihatan di negeri-negeri di semenanjung Malaysia”, katanya.

Selain itu, semalam sebanyak 85 unit kotak intubasi, 72 unit perisai pensampelan serta peralatan PPE berjaya dibawa ke Sarawak dengan bantuan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here