Sistem khas bagi mengawasi individu jalani tempoh kuarantin – KPN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai satu sistem khas bagi mengawasi individu yang sedang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah selepas mereka pulang dari luar negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia digunakan untuk mengesan mereka yang keluar dari rumah dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata individu yang telah diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin harus mematuhi arahan KKM dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Sekiranya mereka ingkar dan berdegil keluar rumah dalam tempoh kuarantin, polis boleh mengambil tindakan dengan menahan serta mendakwa mereka”, katanya.

Abdul Hamid berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara telah diarah untuk membuka pusat panggilan dengan menghubungi atau membuat panggilan video terhadap individu yang dikuarantin.

“IPD-IPD yang terlibat diberikan tanggungjawab untuk memantau mereka namun atas faktor kekangan keanggotaan, kami meminta bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia untuk membuat tinjauan ke rumah mereka, menghubungi serta membuat panggilan video”

Abdul Hamid berkata polis dan KKM hanya meminta individu yang dikuarantin untuk berada di rumah dan bukannya diperintah untuk masuk lokap, oleh yang demikian, beliau berharap pihak terlibat akur dengan arahan itu.

Sementara itu, ditanya sekiranya ada orang ramai yang menyembunyikan maklumat kluster COVID-19 daripada polis dan KKM, Abdul Hamid berkata ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Oleh itu, saya mohon orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat jika ada individu berdekatan mereka yang berkemungkinan dijangkiti COVID-19.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here