JOHOR BAHRU: Seramai 261 individu di seluruh negeri ini didakwa di Mahkamah Johor Bahru susulan ingkar arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sudah menahan 48 individu berusia 19 hingga 66 tahun semalam.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan tangkapan bagi kes ingkar sepanjang tempoh PKP adalah seramai 901 orang”, katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342)”.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis Johor akan mengambil tindakan lebih tegas bagi fasa kedua PKP khususnya terhadap mana-mana individu yang ingkar dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diharapkan untuk sentiasa berada di rumah seterusnya mengelak dikenakan tindakan,” katanya.